IPOH: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memulakan siasatan di kawasan nahas pesawat ringan di Jalan Dr Nazrin Shah, pagi ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kawalan keselamatan kini diperketat di lokasi tersebut bagi mengelak sebarang pencerobohan.

"Pagi ini, pihak CAAM ataupun Pihak Berkuasa Penerbangan Awam akan menjalankan siasatan di tempat kejadian.

"Semalam kita membantu mereka, tutup tempat berkenaan supaya tiada percerobohan dibuat ke atas bangkai pesawat.

"Kita buat kawalan sepanjang malam semalam hingga ke pagi ini bagi memberi ruang kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam menjalankan siasatan insiden berkenaan," kata Mior Faridalathrash.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di MES Pegawai PDRM Perak, Ipoh, pada Selasa.

Sebanyak 30 buah bot diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri membabitkan kos lebih RM400,000

Dalam perkembangan sama, Mior Faridalathrash menafikan khabar angin kononnya seorang lagi mangsa telah meninggal dunia malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang cedera itu masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Isnin, seorang jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera apabila pesawat ringan dinaiki mereka terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, Ipoh.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang merupakan juruterbang, manakala mangsa cedera ialah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62.