KUALA LUMPUR: Penemuan ‘cockpit voice recorder’ (CVR) atau alat perakam suara kokpit daripada pesawat yang terhempas di Bandar Elmina merupakan satu penemuan penting untuk memahami punca nahas kejadian tersebut.

Menurut bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, alat perakam suara kokpit tersebut mempunyai cip yang boleh dimuat turun oleh Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan nahas tersebut.

"Alhamdulillah, cockpit voice recorder telah dijumpai dan CVR ni akan dihantar kepada makmal… mereka (BSKU) ada makmal mereka sendiri untuk memuat turun atau download apa yang ada dalam cip CVR tersebut untuk mendengar perbualan atau apa-apa pun bunyi yang didapati sebelum nahas tersebut berlaku," ujarnya ketika ditemu bual dalam program Buletin Awani pada Jumaat.

Selain itu, Azharuddin berkata, persoalan yang timbul kini adalah keadaan dan fungsi alat perakam suara kokpit tersebut.

Beliau juga menegaskan, tempoh masa analisis perakam suara tersebut bergantung kepada keadaan alat perakam suara kokpit tersebut.

"Ini terpulang kepada keadaan, persoalannya, adakah cip CVR itu masih berfungsi? Kerana selalunya ia boleh digunakan, kerana cara CVR dibuat boleh menahan banyak perkara termasuk dalam air pun boleh dianalisis kemudian. Inikan pula penemuannya di darat,

"Dan kita tidak boleh kata proses analisis siap dalam seminggu dua, atau dua tiga hari, perlu tengok keadaan ada atau tidak kerosakan kepada CVR tersebut," jelasnya lagi.

Sebelum itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan BSKU berjaya menemui CVR pesawat tersebut pada Khamis malam dan telah membawanya ke makmal untuk tujuan analisis.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, VCR merupakan salah satu daripada komponen kotak hitam pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, pada petang Khamis.

Dalam masa sama, Hussein memaklumkan, pasukan mencari juga sedang mengesan ‘flight data recorder’ atau perakam data penerbangan.