KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pesta hiburan di dalam sebuah tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di luar pengetahuan kementeriannya.

Begitupun, tegasnya, KTMB telah memberikan penjelasan dan menyatakan akan lebih tegas dalam garis panduan dan acara yang akan diadakan di tren miliknya pada masa hadapan.

“KTMB dah menyatakan sejak 2021, tren itu disewa khas untuk aktiviti korporat dan sebagainya. Aktiviti tersebut mungkin tidak dinyatakan dengan jelas kepada KTMB.

“Tetapi ada garis panduan ditetapkan termasuklah tiada minuman alkohol dan sebagainya…itu ditetapkan sebagai pra syarat.

“Kadangkala apa yang berlaku itu mungkin di luar kawalan KTMB,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Wisma Monorel Kuala Lumpur pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video memaparkan sekumpulan penumpang mengadakan pesta di dalam gerabak KTMB  dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur.

KTMB menerusi satu kenyataan selepas itu memaklumkan pihaknya akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (Charter Train) demi kepentingan orang awam dan syarikat itu.

Ini susulan kontroversi penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun 'Pinkish Festival' di tren sewa khas yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, Khamis lepas.

KTMB turut memaklumkan pihak penyewa berkenaan telah mematuhi syarat ditetapkan oleh pihaknya.