Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli yang kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, mula menunjukkan reaksi positif.

Walau bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu masih kritikal dan sedang menerima rawatan daripada doktor-doktor pakar di hospital terbabit.

Tambahnya, beliau turut akan melakukan lawatan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada Jumaat bersama kepimpinan Pas Kedah bagi melihat sendiri keadaan terkini Mohd. Shukri.

Tuan Ibrahim turut berharap agar seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Pesuruhjaya Pas Perlis itu.

"Keadaan masih sama, dia (Mohd Shukri) masih berada dalam keadaan kritikal, doa kepada Allah Taala, mudah mudahan Allah sembuhkan beliau insya-Allah.

“Saya pun nak pergi tengok beliau lepas ni, cuma saya difahamkan semalam, darah dimasukkan dalam tubuh dia dan adalah reaksi nampak lebih positif,” ujar beliau.

Pada Ahad, ADUN Sanglang itu rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang berucap dalam Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar.

Beliau yang sebelum di ditempatkan di Unit Rawatan Koronori (CCU), Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Rabu bagi mendapatkan rawatan daripada doktor pakar di hospital terbabit..