MALAYSIA
Petani ubah jadual ke sawah susulan cuaca panas

Cuaca panas yang melanda negeri ini dijangka akan berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Golongan petani di Kedah terpaksa mengubah jadual untuk ke sawah berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini.
Rata-rata yang ditemui mengakui cuaca panas sehingga mencecah suhu sehingga 35 darjah Celsius membuatkan mereka terpaksa keluar lebih awal dan memendekkan waktu berada di kawasan sawah kerana dibimbangi terkena strok haba.
Mohd Abdullah Saad, 42, berkata, dia akan keluar selepas subuh dan akan pulang ke rumah sebelum jam 10 pagi.
Katanya, dia juga perlu membawa dan meminum air dalam jumlah lebih daripada sebelum ini bagi mengelak dihidrasi."Kita berhenti kerja awal jangan sampai lewat tengah hari bagi mengelak daripada dihidrasi pada diri.
"Belah petang kita boleh datang lewat petang selepas jam 6 petang sampai ke malam," katanya.
Bagi peniaga kedai makan, Haron Arshad, 65, jualan air sejuk meningkat berbanding sebelum ini.

Para petani perlu membawa dan meminum air dalam jumlah lebih daripada sebelum ini bagi mengelak dihidrasi. - Astro AWANI
Katanya sebelum ini dia hanya mengambil empat beg plastik ais batu namun sejak beberapa hari ini dia terpaksa mengambil 10 beg ekoran permintaan tinggi terhadap minuman berais.
"Dua tiga hari ini permintaan terhadap air batu ada pertambahan sikit.
"Suhu pun semakin tinggi di Kedah, bukan setakat pembeli kita sendiri pun memang kerap minum air, tak tahan dengan cuaca panas itu," katanya.
Sementara itu Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, mengingatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan digalakkan meminum banyak air berikutan cuaca panas ketika ini yang boleh mencecah sehingga 35 darjah Celsius.
Berdasarkan rekod daerah Kota Setar merekodkan 20 hari tanpa hujan, sementara Pulau Langkawi pula 17 hari manakala Sik serta Kuala Muda masing-masing 12 hari.
Malah setakat ini catatan suhu tertinggi direkodkan di Stesen Charok Padang, Sik pada Sabtu lalu dengan bacaan 35.3 darjah Celcius.
Selain itu suhu maksimum harian pula dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.
Cuaca panas yang melanda negeri ini dijangka akan berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami