MIRI: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini sedang melaksanakan 29 projek mitigasi banjir di Sarawak melibatkan kos keseluruhan RM3.834 bilion.
Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, 18 merupakan projek sambungan, manakala selebihnya merupakan projek baharu yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menurut beliau, projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada 46 projek pembangunan bernilai RM7.3 bilion yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA di Sarawak.
"Projek berkenaan merangkumi pelbagai komponen termasuk pengurusan air, pengurusan sumber air, sistem saliran dan pembentungan.
“Daripada keseluruhan projek di bawah PETRA di Sarawak, enam melibatkan projek bekalan air, 11 projek pembentungan, 25 projek sedang dalam pelaksanaan, 14 dalam peringkat pembinaan, manakala tujuh projek telah siap,” katanya kepada Astro AWANI ketika lawatan kerja ke tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, PETRA bersama Kerajaan Sarawak telah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang diketuai Ketua Setiausaha PETRA dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi menyelaras pelaksanaan projek serta menyelesaikan isu-isu berbangkit di lapangan.
"Pasukan petugas itu akan meneliti pelbagai isu termasuk pengambilan tanah, utiliti dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lebih lancar.
“Melalui pasukan ini, banyak perkara telah berjaya diselesaikan," katanya.
Pasukan ini tambahnya akan mempercepatkan pelaksanaan projek dan mengurangkan kemungkinan berlakunya kelewatan disebabkan faktor di luar kawalan pembinaan.
Antara isu yang lazim dihadapi adalah berkaitan kontraktor, kekangan kewangan serta bekalan bahan mentah susulan situasi geopolitik semasa.
Jelasnya, fokus kementerian adalah untuk memastikan tiada projek terbengkalai dengan semua pihak berkaitan terus bekerjasama mencari penyelesaian terhadap setiap isu yang timbul.
Terdahulu, Fadillah turut merasmikan Projek Cakna MADANI Sarawak bagi pelancaran kerja-kerja penstabilan tebing sungai di Tanah Perkuburan TAB Cinaq.
Sementara itu, Projek RTB Sungai Miri yang dilawatinya merupakan salah satu projek sambungan dengan kos keseluruhan RM31 juta.
Projek itu bermula pada Oktober 2023 dan dijangka siap pada November tahun ini.