Skip to main content

Malaysia

PETRA perkukuh kesiapsiagaan banjir menjelang Aidilfitri - Fadillah

Kuching Banjir APM KUCHING
Fadillah berkata pemantauan berterusan juga dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS, 761 kolam takungan banjir selain kerja penyelenggaraan di lembangan sungai berisiko tinggi. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kesiapsiagaan operasi pengurusan risiko banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin, khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya sejak permulaan musim MTL pada November 2025 yang dijangka berakhir Mac ini.

Advertisement

"Sehubungan itu, pelaksanaan perancangan awal, penyelarasan sumber serta kesiapsiagaan operasi terus menjadi fokus utama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi JPS bagi memastikan pengurusan risiko banjir dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat 17 Mac lepas, sebanyak 745 kejadian banjir telah direkodkan di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Fadillah berkata bagi memastikan tahap kesiapsiagaan optimum, PETRA melaksanakan pemantauan ramalan dan amaran banjir secara 24 jam melalui model ramalan di 36 lembangan sungai yang disokong oleh 1,798 stesen hidrologi telemetri.

"Sehingga kini, sebanyak 64 hebahan ramalan awal banjir dan 39 hebahan amaran banjir telah dikeluarkan," katanya.

Selain itu, Fadillah berkata sebanyak 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan telah dipasang di lokasi strategik di seluruh negara, dengan 675 pengaktifan siren direkodkan setakat 16 Mac lepas sebagai langkah amaran awal kepada penduduk.

Beliau berkata dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan, sebanyak 3,682 lokasi hotspot banjir turut dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan rekod kejadian berulang, dengan Pahang mencatat jumlah tertinggi iaitu 760 lokasi diikuti Kelantan (618) dan Sabah (517).

Fadillah berkata aset operasi seperti 606 pam mudah alih, 1,079 pintu kawalan air dan 285 rumah pam berada dalam keadaan baik serta bersedia digunakan pada bila-bila masa.

Beliau berkata pemantauan berterusan juga dilaksanakan terhadap 16 empangan kendalian JPS, 761 kolam takungan banjir selain kerja penyelenggaraan di lembangan sungai berisiko tinggi.

Pada masa sama, Fadillah berkata kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi diperkukuh bagi penyampaian maklumat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penduduk di kawasan berisiko.

Selain itu, beliau berkata penyelarasan bersama dengan kerajaan negeri turut dilakukan bagi menetapkan prosedur operasi standard pelepasan air empangan untuk meningkatkan kapasiti takungan sepanjang musim MTL.

"PETRA akan terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan kesiapsiagaan dan pengurusan bencana banjir dilaksanakan secara efisien, terselaras dan berkesan demi menjamin keselamatan rakyat serta kemampanan negara," katanya.

Justeru, beliau berkata orang awam disaran untuk sentiasa mengikuti maklumat berkaitan ramalan dan amaran banjir yang dikeluarkan secara rasmi oleh JPS melalui laman sesawang Public Infobanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir.

-- BERNAMA 

Must Watch Video