NATIONAL
PETRONAS lancar filem raya ‘Anak Siapa Ni?’, suntik keindahan tradisi berkunjung

Filem arahan Ismail Kamarul ‘Smiley’ ini mengisahkan seorang pemuda, Rafi dari Shah Alam, Selangor yang dipaksa ibunya untuk menziarahi sepupu ayahnya di Seri Menanti, Negeri Sembilan. - Gambar PETRONAS
KUALA LUMPUR: PETRONAS mempersembahkan filem raya terbaharunya, Anak Siapa Ni?, sebuah naskhah yang mengangkat tradisi kunjung-mengunjungi sebagai asas perpaduan dan keharmonian masyarakat sempena Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina A Latif berkata, filem ini bukan sekadar kisah raya, tetapi satu peringatan tentang kepentingan hubungan kekeluargaan dan kemesraan sesama insan.
“Kisah ini mengingatkan kita betapa pentingnya usaha untuk saling berkunjung dan mengeratkan hubungan dengan keluarga, kawan serta jiran tetangga. Dalam dunia yang semakin sibuk, hubungan erat bukan sekadar satu tradisi tetapi menjadi asas kepada kemajuan bersama,” katanya.
Anak Siapa Ni? mengisahkan Rafi, seorang anak muda yang berasa kekok apabila diminta menggantikan ibunya yang kurang sihat untuk beraya di rumah saudara jauh yang tidak pernah dikunjunginya.Namun, perasaan janggal itu bertukar menjadi satu pengalaman bermakna apabila dia disambut dengan penuh mesra, menyedarkan Rafi tentang nilai sebenar tradisi tersebut.

Filem ini mengajak masyarakat untuk terus memelihara budaya kunjung-mengunjungi, bukan sekadar sebagai adat tetapi sebagai simbol perpaduan yang memperkukuh hubungan antara satu sama lain. - Gambar PETRONAS
“Dalam dunia yang semakin sibuk, hubungan yang erat sesama kita bukan sekadar satu tradisi tetapi menjadi asas kepada kemajuan Bersama,” tambahnya.
PETRONAS berharap mesej yang dibawakan dalam Anak Siapa Ni? dapat menginspirasikan rakyat Malaysia untuk meraikan Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Filem ini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube dan Facebook PETRONAS mulai hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami