MALAYSIA
PETRONAS mula eksport LNG dari Kanada ke Jepun, capai detik bersejarah

Kapal LNG Puteri Sejinjang memulakan penghantaran pertama PETRONAS dari Kanada ke Jepun, satu pencapaian penting dalam strategi tenaga global syarikat itu. - Gambar PETRONAS
KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatat pencapaian antarabangsa penting dengan penghantaran pertama kargo gas asli cecair (LNG) dari kemudahan LNG Canada di Kitimat, British Columbia, Kanada.
Kargo LNG tersebut dihantar menggunakan kapal Puteri Sejinjang berkapasiti 174,000 meter padu dan kini dalam pelayaran menuju Jepun, sekali gus menandakan kemajuan strategik penting dalam pelaburan global syarikat tenaga negara itu.
Menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli, pencapaian ini adalah hasil usaha berterusan bertahun-tahun untuk menjayakan visi eksport LNG Kanada ke rantau Asia Pasifik.
“Penghantaran kargo pertama PETRONAS ini merupakan kemuncak kepada usaha gigih selama bertahun-tahun untuk merealisasikan visi kami mengeksport LNG dari Kanada ke rantau Asia-Pasifik.“Kami amat teruja meraikan detik ini bersama LNG Canada, rakan usaha sama lain, komuniti Haisla, komuniti Kitimat serta rakyat Kanada secara keseluruhan. PETRONAS berbesar hati menjadi sebahagian daripada projek pertama seumpamanya di Kanada,” katanya.
Jelasnya, PETRONAS memiliki 25 peratus ekuiti dalam projek LNG Canada melalui entiti milik penuhnya, North Montney LNG Limited Partnership yang menjadikan PETRONAS antara rakan strategik utama dalam pembangunan kemudahan eksport LNG dengan pelepasan karbon antara terendah di dunia.

Kemudahan LNG Canada di Kitimat, British Columbia, merupakan antara loji LNG beremisi rendah tercanggih dunia yang disokong tenaga hidroelektrik. - Gambar PETRONAS
Fasiliti LNG Canada dilengkapi dengan turbin gas cekap tenaga, sistem pengesan dan mitigasi kebocoran metana yang canggih, serta bekalan tenaga daripada grid BC Hydro yang sebahagian besarnya dijana oleh tenaga hidroelektrik dan tenaga boleh baharu.
Melalui teknologi ini, intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) LNG Canada dianggar 35 peratus lebih rendah daripada loji LNG terbaik sedia ada, dan 60 peratus lebih rendah berbanding purata global.
LNG Canada juga mempunyai kedudukan logistik yang strategik di pantai barat Kanada, membolehkan saluran penghantaran terus dari aset gas huluan PETRONAS di Northeast British Columbia ke pasaran utama Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi komitmen PETRONAS untuk menyokong keperluan tenaga global secara bertanggungjawab dan mampan, sejajar dengan matlamat syarikat menjadi pembekal LNG yang dipercayai di peringkat antarabangsa.
Dengan lebih 40 tahun pengalaman dalam rantaian nilai LNG, PETRONAS terus membuktikan keupayaannya dalam menghasilkan penyelesaian tenaga rendah karbon melalui kerjasama antarabangsa yang kukuh seperti LNG Canada.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami