KOTA KINABALU: Lebih 100 pelajar Sabah menerima tajaan PETRONAS Powering Knowledge Education Sponsorship tahun ini, membuka peluang untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang serta membina kepakaran bagi menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Bagi dua penerima tajaan, Joselyn Joan Majantim dan Jaydan Aris, peluang itu membawa mereka lebih dekat kepada cita-cita dalam bidang psikologi serta kejuruteraan kimia, dengan hasrat menggunakan ilmu yang diperoleh untuk berbakti kepada komuniti.
Joselyn yang berasal dari Lahad Datu berkata, impiannya menjadi ahli psikologi klinikal didorong keinginan membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.
“Pada pendapat saya, kalau saya boleh memberikan usaha saya untuk membangunkan sektor ini sebagai pakar psikologi, saya bukan sahaja dapat memajukan komuniti saya, tetapi juga dapat berbakti kepada negara,” katanya ketika berkongsi kisah dalam program AWANI Pagi.
Menurutnya, kesukaran sesetengah keluarga menanggung kos mendapatkan bantuan psikologi mendorongnya menyimpan hasrat menyediakan program khusus untuk golongan kurang berkemampuan.
“Saya ingin mewujudkan satu program, iaitu program khas untuk golongan kurang berkemampuan, untuk mereka mendapat rawatan psikologi jika mereka perlu,” katanya.
Minat terhadap bidang itu tercetus ketika berusia 12 tahun, selepas mengetahui pengalaman seorang ahli psikologi membantu klien menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.
Namun, perjalanan mengejar cita-cita itu turut menguji keyakinannya apabila dia gagal dalam mata pelajaran Matematik Tambahan buat kali pertama ketika di tingkatan empat.
Dorongan guru, sokongan keluarga dan kesungguhan mengulang kaji membantu bekas pelajar Sekolah Menengah St. Dominic, Lahad Datu itu bangkit sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Tajaan PETRONAS kini membuka laluan pengajiannya dalam bidang psikologi ke United Kingdom, di samping membantu meringankan beban ibu bapa yang banyak mengorbankan masa, tenaga dan wang demi pendidikannya.
Sementara itu, Jaydan yang berasal dari Penampang memilih kejuruteraan kimia kerana bidang berkenaan selaras dengan minatnya terhadap kelestarian alam sekitar.
Bekas pelajar Sekolah Menengah St. Michael, Penampang itu kini mengikuti program Asasi Sains Fizikal di Universiti Malaya sebelum meneruskan pengajian dalam bidang berkenaan.
“Tapi bagi saya, ia bukan tentang bidang yang lagi penting, tapi bidang yang saya tahu saya boleh berikan yang terbaik, iaitu kejuruteraan kimia yang memang selaras dengan minat saya tentang kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Menurut Jaydan, perjalanan mendapatkan tajaan PETRONAS turut membentuk dirinya menjadi individu yang lebih mudah menyesuaikan diri, terbuka menerima kritikan dan rendah hati.
“Banyak nilai yang saya dapat menerapkan dalam diri saya,” katanya.
Tawaran penajaan itu diterima ketika dia bekerja sambilan di kedai neneknya, selepas permohonan bantuan pendidikan terdahulu tidak berjaya.
Ibunya menjadi orang pertama yang dihubungi untuk berkongsi berita gembira berkenaan, sebagai insan yang sentiasa meluangkan masa menyokong perjalanan pendidikannya meskipun sibuk bekerja.
Jaydan turut menggalakkan pelajar yang layak supaya berani memohon penajaan dan tidak membiarkan kekecewaan menghalang usaha membangunkan potensi diri.
Penerima PETRONAS Powering Knowledge Education Sponsorship di Sabah diraikan dalam majlis di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 28 Ogos.
Mereka terdiri daripada lepasan SPM 2025 yang ditawarkan pengajian dalam bidang termasuk kejuruteraan kimia, petroleum dan mekanikal, sains data serta psikologi, di Universiti Teknologi PETRONAS dan institusi terkemuka di Malaysia, United Kingdom serta Kanada.
Sejak 1975, program penajaan pendidikan PETRONAS telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia, mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu dalam membangunkan bakat dan memperluas akses kepada pendidikan berkualiti.