KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang pemandu lori dan merampas 100 ekor biri-biri dianggarkan bernilai RM120,000 dalam satu sekatan jalan raya di Pengkalan Kubor, Tumpat, Isnin lepas.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi pada 11.30 malam itu dilaksanakan oleh Batalion 9 PGA menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.
Advertisement
Beliau berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan selepas memandu lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan di sekatan jalan raya.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 100 ekor biri-biri di bahagian belakang lori. Suspek turut mengemukakan dokumen kebenaran pemindahan ternakan, namun terdapat ketidakpadanan nombor ‘seal’ dengan dokumen yang dikemukakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek bersama lori dan kesemua ternakan telah ditahan untuk siasatan lanjut, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM270,000 melibatkan lori bernilai RM150,000 dan ternakan tersebut.
"Kes dirujuk kepada JPV Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953, manakala siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mendakwa tidak mengetahui ketidakpadanan ‘seal’ kerana urusan dokumentasi dikendalikan pihak lain," katanya.
-- BERNAMA