PASIR MAS: Permintaan tinggi terhadap haiwan seperti burung, ayam laga dan pelbagai haiwan eksotik lain sama ada untuk tujuan peliharaan atau makanan dipercayai menyebabkan semakin banyak haiwan jenis itu diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual semula di sini.

Terbaharu, seekor burung kakak tua yang dianggarkan bernilai RM35,000, 10 ekor anak burung spesies 'sun conure' bernilai RM10,000 serta empat ekor ayam laga bernilai RM20,000 berjaya dirampas berhampiran pangkalan haram Sota, Jeram Perdah, di sini malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Supt Nor Azizan Yusof berkata kegiatan itu dikesan pada 7.30 malam apabila sepasukan anggota Strike Force PGA9 yang sedang menjalankan rondaan dan intipan di tebing Sungai Golok ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dan bakul dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota Strike Force telah menghampiri kumpulan lelaki itu tetapi kesemua mereka melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran dan meninggalkan barangan di tebing sungai.

"Pemeriksaan terhadap kotak dan bakul tersebut menemukan anak burung, burung kakak tua serta ayam laga yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM65,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Azizan berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jeram Perdah mengenai kejadian itu dan kesemua haiwan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) Kelantan untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA