RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas 4,800 botol jamu tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM432,000 dalam serbuan di sebuah premis rumah kedai dekat Bandar Baru Tasek Raja, di sini, pada Ahad.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, turut ditahan dalam serbuan jam 1 tengah hari itu seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pembantu kedai untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis berkenaan telah menjumpai 4,800 botol jamu," katanya.

Menurutnya, hasil semakan dengan pihak KKM mendapati produk tersebut tidak mendapat kelulusan KKM.

Beliau berkata, pihak KKM juga memohon bantuan pihak PGA untuk merampas produk ini bagi tindakan selanjutnya.

Azhari berkata, KKM bimbang jika produk tersebut terlepas ke pasaran ia boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan pengguna kerana tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berkenaan.

Katanya, kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan hanya pekerja sambilan yang menjaga rumah kedai itu.

"Barangan kosmetik tersebut disimpan di premis berkenaan sebelum dihantar ke Kuala Lumpur untuk pasaran tempatan," katanya.

Berita asal: PGA rampas jamu tiada kelulusan KKM