Skip to main content

Malaysia

PGA rekod 813 tangkapan babitkan pelbagai operasi penguatkuasaan di empat negeri

51749454605_ACPBalveerSinghMa.jpg
Balveer Singh berkata dalam tempoh sama, jumlah keseluruhan kes turut meningkat kepada 389 kes berbanding 291 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2025, iaitu pertambahan 98 kes atau 33.68 peratus. - Gambar fail
Advertisement

IPOH: Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 813 tangkapan membabitkan pelbagai operasi penguatkuasaan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis hingga 4 Ogos tahun ini berbanding 672 tangkapan dalam tempoh sama tahun lepas.

Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata dalam tempoh sama, jumlah keseluruhan kes turut meningkat kepada 389 kes berbanding 291 kes yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2025, iaitu pertambahan 98 kes atau 33.68 peratus.

“Ia membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara pegawai dan anggota Briged Utara PGA, risikan berterusan serta maklumat yang disalurkan orang awam dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas mengenai pencapaian operasi, Balveer Singh berkata Op Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains serta Pejabat Tanah dan Galian merekodkan 38 kes tahun ini berbanding 17 kes dalam tempoh sama pada 2025. 

“Operasi itu turut mencatatkan 63 tangkapan berbanding 27 tangkapan pada tahun lepas, manakala nilai rampasan meningkat mendadak daripada RM2.27 juta kepada RM56.86 juta, iaitu peningkatan kira-kira 2,404 peratus,” katanya.

Bagi operasi sekatan jalan raya yang dilaksanakan di tujuh lokasi di utara Semenanjung Malaysia pula, Balveer Singh berkata sebanyak 75 kes direkodkan tahun ini berbanding 24 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata operasi itu turut merekodkan 89 tangkapan, meningkat daripada 30 tangkapan pada 2025 atau pertambahan sebanyak 196 peratus.

Sementara itu, Balveer Singh berkata bagi kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), sebanyak 11 kes direkodkan tahun ini berbanding enam kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah tangkapan di bawah akta itu meningkat daripada 12 kepada 14 orang, manakala nilai rampasan turut meningkat daripada RM308,000 kepada RM465,000 dalam tempoh sama.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement