KOTA BHARU: Anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) berjaya merampas sebanyak 718 botol ubat batuk bernilai RM7,180 dipercayai bagi pasaran tempatan selepas menahan sebuah lori syarikat penghantaran di Kampung Tasek Hulu, dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, pada Ahad.

Pegawai Pemerintah Medan Op Wawasan Kelantan, DSP K. Ramesh berkata lori tersebut ditahan ketika dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Strike Force semasa rondaan Op Wawasan pada jam 6 petang.

"Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menemukan 718 botol ubat batuk.

"Kami turut menahan pemandu lori serta merampas lori terbabit bersama kesemua ubat batuk dan muatan bernilai lebih RM92,000," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pemandu warga tempatan berusia 30-an serta rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA