MALAYSIA
PGB pulihkan sepenuhnya bekalan gas ke kawasan utama Batu Tiga, Connaught Bridge

PGB telah melaksanakan langkah pengukuhan kejuruteraan yang dipertingkatkan di bahagian pintasan di Putra Heights, termasuk pemasangan sensor termaju bagi mengesan pergerakan tanah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) telah memulihkan sepenuhnya bekalan gas ke kawasan utama di Batu Tiga, Shah Alam, dan Connaught Bridge berikutan penyempurnaan proses pengaliran gas bagi talian paip pintasan baharu yang dibina pada 1 Julai 2025.
Ringkasan AI
- Petronas Gas Bhd (PGB) telah memulihkan sepenuhnya bekalan gas ke Batu Tiga dan Connaught Bridge selepas siapnya talian paip pintasan baharu pada 1 Julai 2025, dengan semua keperluan keselamatan dipatuhi.
- PGB melaksanakan langkah keselamatan tambahan termasuk pemasangan sensor pergerakan tanah, cerucuk sokongan dan injap penutup baharu, serta merancang pemasangan talian paip kekal dengan ciri keselamatan dipertingkatkan.
- Syarikat turut menyalurkan lebih RM2 juta bantuan kemanusiaan kepada keluarga terjejas dan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas talian paip PGU sepanjang 2,680 km menggunakan teknologi Geopig dan MFL; setakat ini tiada lokasi lain dikenal pasti berisiko seperti Putra Heights.
PGB berkata selari dengan prinsip utamakan keselamatan, syarikat itu telah melaksanakan langkah pengukuhan kejuruteraan yang dipertingkatkan di bahagian pintasan di Putra Heights, termasuk pemasangan sensor termaju bagi mengesan pergerakan tanah dan paip -- melebihi piawaian keselamatan biasa.
Bagi memastikan kestabilan jangka panjang dan integriti struktur, cerucuk kepingan dan struktur sokongan kejuruteraan turut dipasang bagi melindungi talian paip bagi memastikan prestasi yang selamat, terjamin dan tanpa gangguan.
Menurut PGB, talian paip kekal yang baharu sedang dihasilkan dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan akan dipasang di atas asas papak bercerucuk dalam -- memberikan rintangan struktur yang lebih baik terhadap pergerakan atau perubahan tanah yang tidak dijangka berikutan risiko tertentu di kawasan berkenaan akibat pembangunan di sekitarnya.
Susun atur itu juga akan dilengkapi dengan injap penutup baharu bagi membolehkan jarak pengasingan yang lebih kecil sekiranya berlaku kecemasan, katanya.
Selain memulihkan bekalan, PGB telah menyalurkan lebih RM2 juta dalam bentuk ex-gratia dan bantuan kemanusiaan melalui pihak berkuasa tempatan, termasuk RM1.38 juta bantuan terus kepada keluarga yang terjejas dan sumbangan RM25 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk tujuan pembinaan semula rumah.
PGB turut menjalankan penilaian langkah berwaspada di sepanjang bahagian lain bagi talian paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) sepanjang 2,680 kilometer untuk memastikan integriti sistem secara menyeluruh.
Usaha ini melibatkan penggunaan alat pemeriksaan seperti teknologi Geopig dan kebocoran fluks magnet (MFL), yang dilengkapi dengan pemeriksaan visual yang disasarkan dalam segmen terpilih.
Syarikat itu turut mengesahkan bahawa setakat ini, tiada lokasi lain yang menunjukkan ciri-ciri risiko sama yang dikenal pasti di Putra Heights.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami