KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menamakan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon gabungan itu untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Kor Ming ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan beliau ialah calon tunggal yang dinamakan blok pembangkang.

Menurutnya, cadangan itu sudah diserahkan kepada Parlimen mengikut kaedah yang ditetapkan peraturan mesyuarat.

"Saya telah diberi mandat sebagai calon PH untuk jadi calon tunggal bagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan sesi undi dijangka diadakan pada Selasa depan," katanya di sini, pada Jumaat. 

Mengulas lanjut, Kor Ming menyifatkan, tindakan kerajaan memberi ruang kepada blok pembangkang sebagai selaras dengan pembaharuan atau transformasi. 

"Sekiranya wakil pembangkang menjawat jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, maka adalah dilihat dari aspek komitmen kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan pada pada masa yang sama meningkatkan imej kerajaan yang lebih inklusif dengan titah Yang di-Pertuan Agong," tambahnya lagi. 

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan 10 pembaharuan sekiranya dilantik bagi menjawat jawatan itu, seperti berikut:

1. Memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan pemisahan kuasa berlangsung. Parlimen tidak lagi diletak di bawah kuasa eksekutif.

2. Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk menyemak belanjawan bagi memastikan ketelusan dalam peruntukan belanjawan tahunan kepada Parlimen.

3. Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas untuk mengkaji rang undang-undang kerajaan bagi menyemak ketelusan antara pembangkang dan kerajaan.

4. Menubuhkan kamar khas kedua untuk membincangkan isu-isu khusus yang dihadapi pelbagai kawasan ahliahli Parlimen supaya menteri yang berkaitan dapat berhadapan secara langsung, menjawab soalan ahli parlimen dan memberikan penyelesaian.

5. Menetapkan hari persidangan minimum bagi parlimen setiap tahun, untuk memastikan semua anggotanya dapat memainkan peranan sementara kehadiran ahli parlimen juga harus diumumkan secara terbuka kepada pengundi.

6. Mengadakan siaran langsung untuk mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) secara dalam talian.

7. Ketua pembangkang diberi status sebagai menteri bagi semak dan imbang dalam pentadbiran.

8. Melembagakan usul percaya untuk memastikan keabsahan perdana menteri agar tidak dipersoalkan. Untuk itu Parlimen harus meminda peraturan mesyuarat bagi mensyaratkan seseorang perdana menteri baru untuk mengemukakan usul undi percaya kepada parlimen dalam tempoh 30 hari setelah mengangkat sumpah.

9. Undang-undang antilompat parti yang merangkumi pemilihan semula wakil rakyat.

10. Menubuhkan jawatankuasa terpilih khusus untuk isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Ketika ini satu daripada dua jawatan timbalan speaker itu kosong selepas peletakan jawatan yang disandang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi memberi ruang kepada kerajaan dan pembangkang untuk menetapkan kembali fungsi Parlimen.

Pada masa yang sama, blok kerajaan mencalonkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat baharu.