BUKIT MERTAJAM: Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan politik berasaskan nilai, integriti dan keupayaan mentadbir, sambil meneliti strategi bagi menghadapi perubahan landskap politik semasa.
Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata pendekatan itu kekal menjadi teras perjuangan PH kerana rakyat akhirnya akan menilai perkara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka termasuk kos sara hidup, ekonomi, pendidikan dan prestasi kerajaan.
“Pada masa sama, kita akan melihat banyak lagi perkara menerusi pascanilai untuk ditambah baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Pulau Pinang di sini hari ini.
Adly berkata demikian ketika mengulas prestasi PH dan Amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau berkata PH perlu memperkemas pendekatan komunikasi supaya pencapaian kerajaan, dasar ekonomi dan usaha membantu rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara PH dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.
Sementara itu, Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata gabungan itu akan bermesyuarat pada 8 Ogos ini bagi meneliti keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan serta menyusun strategi baharu untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya umum lebih awal.
“Kita perlu membawa pengundi kembali memberi fokus kepada prestasi serta penyampaian kerajaan, kesejahteraan rakyat, pencapaian dan usaha mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
-- BERNAMA