PUTRAJAYA: Pakatan Harapan tiada masalah dengan pentadbiran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika pendekatan yang diambil kerajaan, fokus ke arah usaha menangani krisis pandemik COVID-19, dan ekonomi rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa PH sedia mengambil pendekatan untuk ketepikan dahulu soal politik.

Namun beliau berharap, Ismail Sabri dan jentera kabinet baharu, perlu komited untuk menyelesaikan masalah COVID-19, serta mewujudkan lebih banyak program bersifat pro-rakyat.

“Kita ada permulaan yang baik, untuk kita kemukakan tentang menangani permasalahan COVID-19 yang lebih besar, program-program pro-rakyat yang lebih menyentuh permasalahan golongan miskin dan kehilangan pekerjaan. Itu maknanya kita tekankan sebagai isu yang asas.

“Untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik, itu memang kita persetujui. Tetapi kita berikan (fokus) kepada isu-isu ini supaya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

“Dan kita beri jaminan kalau program pro-rakyat, program penanganan pandemik COVID-19 ini lebih berkesan, maka kita tak ada masalah untuk kita menjamin supaya keadaan (politik) lebih terkawal.” Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Presiden PKR itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai delegasi Pakatan Harapan berjumpa dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra selama satu jam, di Putrajaya, hari ini.

Turut menyertai perbincangan itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pihaknya menghargai keterbukaan Ismail Sabri dalam menjemput wakil blok pembangkang untuk sama-sama memberi pendapat dalam menangani isu yang sekian lama membelenggu rakyat dan negara itu.

Katanya lagi, beliau juga sempat berseloroh dengan Naib Presiden UMNO itu, tentang pendirian UMNO bahawa - "No Anwar, No DAP" sebelum ini.

"Terima kasih juga pada Ismail Sabri ...dia ini mewakili UMNO. Dan dibincang (isu negara0 dengan Anwar dan DAP, jadi saya bergurau No Anwar No Dap Nampak dah berubahlah. Dia (Ismail Sabri) berkata ini semangat Titah Tuanku untuk (semua pihak) bekerja sama," katanya lagi.

Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, Guan Eng, yang juga bekas Menteri Kewangan, telah membangkitkan beberapa isu spesifik yang mengenai ekonomi termasuk moratorium bank.

Selain itu, Mohamad pula telah menzahirkan pendirian agar kerajaan perlu mengambil pendekatan strategik yang baharu, selepas beberapa langkah sebelum ini sudah tidak lagi berkesan.

Anwar berkata, beliau difahamkan akan ada kenyataan bersama oleh kedua-dua pihak Pembangkang dan Kerajaan dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada terdapat sebarang jawatan yang ditawarkan kepada blok Pembangkang, Anwar menegaskan ia tiada dalam perbincangan mereka.

"Saya tidak mahu itu dijadikan isu. Kita tidak datang untuk meminta jawatan kita, isu kita khusus soal ekonomi rakyat.

"(Selepas ini) ada mesyuarat susulan peringkat jawatankuasa yang turut diwakil kita untuk kita mencerakin apa langkah-langkah yang dipersetujui, dan langkah-langkah yang boleh diambil supaya kedudukan Perdana Menteri dan kedudukan negara itu lebih terkawal. Dan ia aman politiknya.

"Kalau suasana begini dan program itu agak pro-rakyat, kita tidak akan mempersulitkan," katanya lagi apabila ditanya mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sewaktu pembukaan Dewan Rakyat bulan hadapan.