CHENGDU: Taiwan melakukan kejutan terbesar pada kejohanan Piala Thomas 2024 apabila menyingkirkan jaguh Eropah, Denmark 3-1 pada saingan suku akhir di sini malam tadi untuk melangkah ke separuh akhir buat pertama kali.

Kejayaan sensasi itu menyaksikan Taiwan berdepan Indonesia dan Malaysia menentang China di pentas separuh akhir pada jam 5 petang hari ini.

Pada aksi di Pusat Sukan Zon Hi-Tech Chengdu di sini, pemain perseorangan nombor 14 dunia,Chou Tien Chen, mencetuskan inspirasi kepada Taiwan apabila membenam pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen 21-19, 14-21, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 68 minit untuk menyumbang mata pertama.

Taiwan meneruskan momentum kemenangan apabila beregu juara Sukan Olimp[ik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi-Lin myumbang mata kedua dengan menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-14, 21-15.

Bagaimanapun, pemain perseorangan nombor empat dunia, Anders Antonsen memberi harapan kepada Denmark dengan merapatkan kedudukan kepada 2-1 apabila bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum mengalahkan Lin Chun-Yi 14-21, 21-10, 21-14 dalam tempoh 72 minit.

Beregu numbor dua Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan muncul wira apabila menghadiahkan mata kemenangan Taiwan untuk melangkah ke separuh akhir dengan menewaskan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, 23-21, 21-18.

Bercakap selepas perlawanan itu, Tien Chen, 34, berkata tiada strategi khas untuk mengejutkan Axelsen tetapi dia hanya menikmati setiap pukulan dan rali sebaik mungkin sepanjang perlawanan pembukaan.

Sementara itu Jhe-Huei mengaitkan kejayaan luar biasa mereka dengan kekalahan mengejut Axelsen di tangan Tien Chen dan ia merupakan faktor utama dalam kemenangan besar Taiwan ke atas Denmark.

Rekod terbaik Taiwan sebelum ini dalam kejohanan berpasukan paling berprestij di dunia ialah mara ke suku akhir sebanyak tiga kali pada 2016, 2018 dan 2022.

Sementara itu, dalam satu lagi saingan suku akhir, Indonesia menewaskan Korea Selatan 3-1.

Pemain perseorangan utama Anthony Sinisuka Ginting menyumbang mata pertama kepada Indonesia apabila bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum mengalahkan Jeon Hyeok Jim, 14-21, 21-16, 21-16.

Bagaimanapun, Korea Selatan menyamakan kedudukan dengan beregu nombor dua dunia, Kang Min Hyeuk-Seo Seung Jae mengatasi pasangan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulan, 21-15, 21-12 sebelum Jonatan Christie meletakkan Indonesia di depan dengan menewaskan Cho Geonyeop 17-21, 21-17, 21-10.

Pasangan gandingan baharu Fajar Alfian-Daniel Marthin mengesahkan kemenangan Indonesia dengan menyingkirkan Ki Dong Ju-Kim Won Ho 21-12, 21-13, sekali gus membantu negara juara 14 kali itu membuat penampilan separuh akhir buat kali keenam berturut-turut sejak 2014.

-- BERNAMA