Skip to main content

Malaysia

Pinda Akta Persaingan untuk tangani taktik baharu kartel, perkukuh kuasa MyCC - Armizan

KUALA LUMPUR, 2 Julai -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika hadir pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini._BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika hadir pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 mencadangkan pengukuhan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan susulan peningkatan penggunaan teknologi dalam aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata seiring dengan kemajuan teknologi serta kemunculan model perniagaan baharu, perusahaan yang terlibat dalam amalan antipersaingan kini semakin kreatif dalam modus operandi mereka.

Beliau berkata melalui RUU itu, kerajaan mencadangkan penambahbaikan terhadap peruntukan berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah, selain memperkukuh kuasa serta prosedur penyiasatan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

“Kartel kini menggunakan algoritma, berkomunikasi dengan ahli kartel menggunakan mesej yang terpadam sendiri dan menggunakan teknologi pemadaman digital bagi menghapuskan bukti perbualan kartel mereka,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Armizan berkata kajian semula terhadap Akta Persaingan 2010 mengambil kira pengalaman 14 tahun MyCC dalam menjalankan penyiasatan, di samping membuat penanda aras terhadap prosedur penyiasatan dan penguatkuasaan agensi lain di Malaysia, prinsip keadilan asasi serta amalan terbaik antarabangsa.

Katanya, hasil kajian mendapati akta itu perlu diperkasakan supaya sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

“Pindaan ini penting bagi memastikan MyCC mempunyai keupayaan untuk berdepan dengan perubahan struktur pasaran yang semakin rumit dan dinamik, kemampuan untuk menyiasat dan menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 terhadap kes-kes antipersaingan yang semakin kompleks serta menangani taktik perusahaan yang semakin kreatif dalam menyembunyikan perlakuan antipersaingan mereka,” katanya.

Armizan berkata RUU yang membabitkan 34 fasal itu antara lain membuat pindaan terhadap Seksyen 24 dengan memperuntukkan kesalahan jenayah cubaan untuk memusnahkan, menyembunyikan, mencacatkan atau mengubah rekod dan data bagi menghalang penyiasatan MyCC.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement