Skip to main content

Malaysia

Pindaan Akta 800 berkuat kuasa hari ini, beri manfaat lebih tujuh juta pencarum - PERKESO

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan pindaan Akta 800 telah diwartakan pada 15 Sept lepas dengan tiga penambahbaikan faedah.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan pindaan Akta 800 telah diwartakan pada 15 Sept lepas dengan tiga penambahbaikan faedah.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pencarum yang kehilangan pekerjaan mulai hari ini dan memenuhi syarat kelayakan boleh memohon faedah mengikut Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 (Akta 800) berdasarkan kadar baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan pindaan Akta 800 telah diwartakan pada 15 Sept lepas dengan tiga penambahbaikan faedah antaranya kadar baharu peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) berbanding 25 peratus sebelum ini.

Menurut PERKESO, had maksimum Fi Latihan juga dinaikkan kepada  RM7,000 berbanding RM4,000 serta peningkatan Elaun Latihan kepada RM30 sehari.

“Pindaan ini juga melibatkan pengenalan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar kepada pencarum yang hilang pekerjaan serta menerima faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dan kemudian mendapat kerja baharu di lokasi yang jaraknya melebihi 100 kilometer dari kediaman.

“Oleh itu, pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh mengemukakan permohonan faedah berkenaan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Kerjaya -- https://lindungkerjaya.perkeso.gov.my/ -- atau mana-mana kaunter PERKESO berhampiran,” menurut pertubuhan itu dalam kenyataan hari ini.

PERKESO memaklumkan penambahbaikan yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu itu akan memberikan manfaat kepada lebih tujuh juta pencarum serta diyakini mampu merancakkan pasaran buruh negara, menjadi pemangkin kepada tempoh peralihan kerjaya lebih cepat.

Menurut PERKESO reformasi terbaru itu bukan sekadar mengukuhkan jaringan perlindungan dalam dinamika pasaran buruh masa kini malah juga turut disokong oleh mekanisme peralihan kerjaya secara menyeluruh.

“Penyediaan ekosistem serba lengkap yang dipacu oleh perkhidmatan pemadanan kerjaya melalui portal pekerjaan negara MYFutureJobs, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula, peningkatan kemahiran dan sokongan mobiliti ini sekali gus mampu menjamin kelangsungan sosioekonomi masyarakat,” menurut PERKESO.

PERKESO menjelaskan pindaan terhadap Akta 800, yang sebelum ini dikenali sebagai Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017, melengkapkan agenda Kerajaan MADANI ke arah mengukuhkan perlindungan sosial secara lebih menyeluruh, selari pelaksanaan LINDUNG 24 Jam pada 1 Jun lepas.

 “Keseluruhannya, PERKESO bertekad agar perlindungan sosial bergerak seiring perubahan dunia pekerjaan, bukan sekadar membantu pencarum ketika kehilangan pekerjaan, malah juga memastikan mereka mempunyai kemahiran, peluang dan sokongan untuk kembali bekerja dengan lebih cepat. 

“Melalui pindaan dan penambahbaikan ini, setiap pencarum yang terjejas bukan sahaja dilindungi, malah turut dibantu untuk bangkit, kembali produktif dan membina kehidupan yang lebih terjamin,” menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement