Pindaan Akta FINAS 2025 tidak libat kawal selia media sosial - FINAS

Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Negara semalam, tidak melibatkan kawal selia kandungan media sosial atau menyekat kreativiti, menurut FINAS. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Negara semalam, tidak melibatkan kawal selia kandungan media sosial atau menyekat kreativiti, menurut FINAS.
FINAS memaklumkan pindaan tersebut berteraskan tiga skop utama iaitu pembangunan industri, penambahbaikan tadbir urus serta pemantapan fungsi dan penguatkuasaan, dengan penekanan kepada pembentukan ekosistem industri yang lebih profesional, telus dan berdaya saing.
"Pindaan ini tidak melibatkan kawal selia kandungan media sosial. Buat masa ini, FINAS juga mengecualikan platform over-the-top (OTT) dan video on demand (VOD) daripada keperluan pelesenan," menurut kenyataan itu.
Dewan Negara semalam meluluskan RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, bagi memastikan rangka kawal selia industri filem dan kandungan kreatif negara kekal relevan, berintegriti serta selari dengan perkembangan teknologi dan landskap kandungan digital semasa.
Menurut FINAS, pindaan berkenaan juga bukan bertujuan menyekat kreativiti sebaliknya melindungi kebajikan tenaga kerja kreatif serta memastikan pematuhan undang-undang dalam aktiviti perfileman komersial.
Sepanjang proses penggubalan rang undang-undang itu, lebih 50 sesi libat urus telah diadakan melibatkan persatuan industri, syarikat produksi, stesen televisyen, platform OTT, institusi pengajian tinggi serta kementerian dan agensi teknikal berkaitan.
"Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap pindaan yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira keperluan dan realiti industri," menurut kenyataan itu lagi.
FINAS yakin pindaan akta tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem perfileman negara yang lebih mampan, berintegriti dan kompetitif, selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi kreatif Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


