GUA MUSANG: Seramai 120 keluarga di Kampung Jerek, Gua Musang, Kelantan bersyukur kerana masalah bekalan air yang dihadapi sejak 37  tahun lalu diselesaikan melalui pelaksanaan Projek Komuniti Bekalan Air (PKBA) di bawah Jabatan Sumber Air negeri Kelantan (JSANK).

Sebelum ini penduduk di Kampung Jerek berdepan masalah air yang kritikal apabila hampir setiap hari terputus air, kerana bekalan tidak mencukupi serta terpaksa menggunakan air tandak yang keruh.

Bagi menyelesaikan masalah itu, penduduk perlu mencari sendiri punca air termasuklah mengangkut air di sungai bagi kegunaan harian.

Seorang penduduk Abdul Hadi Sibaweh berkata sebelum ini situasi bekalan air di kampungnya itu sangat kritikal. 

"Masalah air di Kampung Jerek ini sangat kritikal, maknanya kalau kemarau sikit tak ada air, kita menghadapi masalah air terpaksa diangkut di sungai berdekatan.

"Lepas itu kalau air tandak keruh kita hendak membasuh pakaian banyak masalah. Air tandak ada sejak 1985 lagi, jadi lama sangatlah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kini, penduduk bersyukur telah mendapat manfaat sumber air bersih daripada pembinaan telaga tiub menerusi projek itu.

Buat seorang lagi penduduk, Abu Bakar Yaakob, dia melahirkan rasa syukur, rintihan yang disuarakan selama ini akhirnya didengari.

"Kampung Jerek ini susah jugalah. Bila ada bantuan ini kita terima, syukur Alhamdulillah.

"Air itu (sebelum ini) keruh. (Kini) kemarau tak apalah, kalau air ini kita rasa tak keruh lagi dah jernih. Bersyukur banyaklah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, sebanyak RM4.6 juta kos diperuntukkan untuk projek infrastruktur bekalan air tahun lalu dan RM6.9 juta tahun ini.

Beliau berkata, PKBA adalah antara usaha kerajaan negeri Kelantan menbantu rakyat yang berdepan masalah bekalan air bersih.

"Projek ini merupakan projek yang kita luluskan pada tahun lepas 2021 yang mana projek ini melibatkan belanja RM1.3 juta, bukan sahaja di sini tetapi ada di Tanah Merah empat projek, Machang dua projek, Bachok satu projek dan Gua Musang satu projek.

"Jadi projek ini melibatkan perbelanjaan RM1.3 juta. Di samping itu kita ada juga projek pemasangan paip RM2.8 juta, projek pemasangan paip komunikasi RM500,000. Jadi keseluruhan semua projek ini ialah RM4.6 juta peruntukan dari kerajaan negeri termasuklah di Kampung jJerek," katanya.

Ketika ini seramai 300 penduduk tinggal di Kampung Jerek.