KUALA LUMPUR: Dedak isirung sawit (PKE atau PKC) selamat digunakan dalam bahan makanan untuk lembu tenusu, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kajian yang menggunakan kumpulan PKE yang berbeza menunjukkan kesan positif secara konsisten terhadap prestasi dan kesihatan lembu tenusu.

"Ini menunjukkan unsur surih yang berbeza daripada kumpulan pengeluaran PKE yang berbeza tidak mempunyai kesan negatif ke atas lembu tenusu.

"Penggunaan PKE dalam diet lembu tenusu dirumus oleh pakar pemakanan haiwan bagi memenuhi keperluan nutrien," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Parveez berkata penemuan penyelidikan itu bercanggah dengan satu artikel yang diterbitkan baru-baru ini yang menyatakan bahawa PKE mengandungi kepekatan beberapa unsur seperti besi, magnesium dan fosforus yang melebihi paras selamat untuk kesihatan lembu tenusu.

"Kesan penggunaan PKE dalam diet lembu tenusu menyumbang kepada kandungan lemak susu yang lebih tinggi seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut dapat memberi manfaat kepada industri tenusu di mana susu dijual berdasarkan peratus kandungan lemak susu.

"Justeru, ia boleh membantu penternak memperoleh harga susu yang lebih baik. Oleh itu, dengan menyesuaikan makanan lembu tenusu menggunakan PKE, kandungan lemak susu yang tinggi boleh dicapai," katanya.

Beliau berkata PKE secara amnya lebih selamat untuk diberi makan kepada lembu tenusu apabila bekalan makanan tidak dikawal dengan teliti atau apabila kualiti foraj sangat subur.

PKE lazimnya boleh diberi makan pada kadar peratusan yang lebih tinggi bagi setiap lembu tenusu setiap hari berbanding gandum, barli atau bijirin jagung tanpa menyebabkan masalah asidosis rumen kerana paras serat detergen neutral (NDF) yang tinggi dalam PKC," katanya.

Menurut kajian lain, Ahmad Parveez berkata nisbah fosforus kepada kalsium yang tinggi dalam PKC menjadikannya pilihan yang baik untuk makanan lembu tenusu

PKC digunakan sebagai bahan biasa dalam catuan lembu tenusu di Jerman dan Belanda dengan kira-kira 10 peratus manakala di Malaysia, ia digunakan lebih daripada 50 peratus dan tiada kesan negatif dilaporkan, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa fosforus dan kalsium, unsur surih dalam PKC memainkan peranan utama sebagai galian penting yang diperlukan untuk transformasi tenaga biokimia dalam semua sel badan selain membentuk asas mineral tulang dan gigi bagi ternakan.

Berdasarkan perspektif mengenai komitmen Malaysia termasuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), penurunan kemusnahan hutan primer di Malaysia selama empat tahun berturut-turut (dari 2017-2020) mungkin telah menyumbang ke arah aliran menurun ini seperti yang dilaporkan oleh Global Forest Watch 2021, kata Ahmad Parveez.

-- BERNAMA