IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) membuat laporan dan aduan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berhubung penyebaran pelbagai dakwaan terhadap perbadanan itu, pengurusan serta individu tertentu yang dikaitkan dengan organisasi.
PKNPk dalam kenyataan memaklumkan perbadanan itu mengambil maklum beberapa hantaran oleh sebuah laman Facebook, yang sejak kebelakangan ini secara berterusan menyiarkan pelbagai tuduhan serius terhadap PKNPk dan pengurusannya.
Menurut kenyataan itu penyebaran dakwaan tidak berasaskan fakta yang dapat disahkan berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti PKNPk serta pihak-pihak yang terlibat, selain menggugat keyakinan pelabur, pihak berkepentingan serta masyarakat umum.
“Sebagai sebuah agensi pembangunan milik Kerajaan Negeri Perak, PKNPk menghormati hak mana-mana pihak untuk bersuara, memberikan pandangan dan mengemukakan kritikan melalui saluran yang sewajarnya, namun kebebasan tersebut tidak seharusnya disalahgunakan.
“Sehubungan dengan itu, PKNPk telah membuat beberapa laporan dan aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC antara 30 Julai 2026 hingga 3 Ogos 2026, berhubung penyebaran dakwaan tersebut,” menurut kenyataan tersebut yang dimuat naik di laman Facebook rasmi PKNPk.
PKNPk dalam kenyataan itu memaklumkan perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Perbadanan itu juga telah mendapatkan nasihat perundangan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kepentingan, reputasi dan integriti organisasi terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu, memfitnah atau melanggar undang-undang.
“PKNPk akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan amanah dan tanggungjawabnya sebagai agensi pembangunan negeri berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan kepentingan negeri Perak,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA