KOTA BHARU: Keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh seperti pada Mac 2020 atau 'full lockdown' akan diputuskan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan PKP itu merupakan antara cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.

Takiyuddin berkata, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat yang melibatkan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta semua Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Jumaat.

Menurut beliau, dalam mesyuarat itu juga, MKN perlu memikirkan opsyen yang perlu ada seperti yang dibuat sebelum itu termasuk PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Langkah-langkah yang perlu diambil sama ada secara keseluruhan atau bersasar bergantung pada keadaan… kalau kita lihat perkembangan, di samping langkah kita ambil pelan PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) begitu tersusun cuma kita lihat ada perkara yang perlu kita tekankan (iaitu) kurangnya sambutan rakyat untuk dapatkan vaksin sedang diusahakan di semua negeri.

"Itu akan diputuskan esok, ada sidang COVID yang melibatkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri itu akan dibincangkan,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kecil MKN di sini, hari ini. 

PKP 'Full Lockdown' | Kerajaan akan buat keputusan esok - Takiyuddin Hassan

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) terperinci berkenaan 'full lockdown' jika dilaksanakan, tegas beliau, masih belum diketahui.

Pada PKP 1.0 yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu, semua pergerakan rentas daerah dan negeri dilarang.

Manakala semua syarikat dan premis perniagaan juga tidak dibenarkan beroperasi, kecuali yang dalam sektor kritikal.