KUALA LUMPUR:Seramai 253 dari 877 individu yang ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Sabtu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan kesalahan tertinggi dengan jumlah keseluruhan 806 dikenakan kompaun manakala 71 lagi direman.

Antara kesalahan lain yang direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (177), aktiviti pusat hiburan (101), tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) dan lain-lain (166).

"Sebanyak 2,910 pasukan pematuhan yang melibatkan 14,071 anggota telah membuat pemantauan di 4,212 pasar raya, 5,630 restoran serta 2,385 penjaja, 1,570 kilang, 3,650 bank dan 664 pejabat kerajaan.

"Sementara Op Benteng telah menangkap 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lima tekong serta
merampas lapan buah kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 102 buah bot/kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan," jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu jelas Ismail, sebanyak 73 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 31 zon merah, enam zon jingga dan lima zon kuning di seluruh negara.

"Seramai 494 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

"Sejak 24 Julai 2020, seramai 120,928 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 72 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Seramai 5,719 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 114,643 orang dibenarkan pulang manakala 566 lagi dibawa ke hospital," ujarnya.

Sementara itu jelasnya, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)telah membuat 746 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (590), pemborong (125) dan pengilang (31).

Mereka juga telah melakukan 2,939 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 2,936 premis mematuhi SOP manakala tiga premis diberi nasihat.