Setiap kedutaan atau pejabat pesuruhjaya negara asing perlu bertanggungjawab memastikan rakyat mereka di negara ini mendapat bantuan sewajarnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan Malaysia bagaimanapun sedia membantu dan mengawal selia urusan warga asing yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau berkata, itu adalah pendirian kerajaan susulan timbul laporan yang mendakwa terdapat pekerja warga Bangladesh yang tidak mempunyai makanan semasa tempoh PKP di negara ini.

"Semalam ada berita mengatakan ada pekerja Bangladesh tiada makanan. Jadi, kerajaan kita adalah kerajaan bertanggungjawab, siapa pun akan kita bantu.

"(Bagaimanapun) Kerajaan setuju bahawa setiap kedutaan negara asing mesti mengambil tanggungjawab memastikan rakyat mereka mendapat bantuan sewajarnya.

"Mereka perlu melaporkan kepada jawatankuasa bencana bencana daerah dan kalau di Kuala Lumpur terus hubungi Pusat Pengurusan Krisis (CMC) d bawah kawal selia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.