Gara-gara tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berjalan, seorang pengurus kelab golf bersama dua lelaki ditahan ketika sedang leka bermain golf di sebuah kelab golf, di Batu Gajah, Perak pada Khamis.

Mereka ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah ketika menjalankan tugasaan rondaan penguatkuasaan pkp di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, dalam kejadian 11.30 pagi itu, didapati tiga lelaki sedang bermain golf di padang kelab golf tersebut.

Katanya, pegawai polis dan pasukan menghampiri lelaki tersebut, namun mereka telah menaiki buggy dan berpatah balik masuk ke kawasan padang golf.

Seterusnya pihak polis telah menahan lelaki tersebut di dalam kawasan padang golf.

Jelasnya tangkapan melibatkan seorang pengurus kelab golf, berumur 67 tahun, seorang pengurus pengangkutan berumur 58 tahun dan seorang lagi guru pusat tuisyen berumur 36 tahun.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, antara barangan yang dirampas ialah tiga set beg golf pelbagai jenama milik ketiga-tiga lelaki tersebut.


Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dipercayai dengan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa jangkitan penyakit yang merbahaya kepada nyawa.

Dan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, di mana berhimpun bagi maksud sukan dan boleh dihukum di bawah peraturan 11 peraturan yang sama.