KUALA LUMPUR:Mengambil kira keperluan pihak industri, kerajaan bersetuju membenarkan maksimum 10 peratus pekerja di peringkat pengurusan dan penyeliaan untuk berada di pejabat, di negeri yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia merangkumi antaranya, tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Keputusan ini diambil sebagai tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, kata menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pekerja terbabit dibenarkan berada di pejabat hanya terhad untuk empat jam sahaja, bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang, untuk tiga hari seminggu.

Bagi tujuan ini, kata Mohamed Azmin, syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan.

"Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.

"Majikan juga perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, MITI memutuskan untuk melaksanakan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pihak industri memperkenalkan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) atau Work From Home (WFH) bagi kakitangan pengurusan dan penyeliaan.
JEJAK COVID-19 DI SINI


Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik COVID-19, terutamanya di kawasan yang sedang menjalani PKPB.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan sistem pangkalan data MITI COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah seramai 3.1 juta orang.

"Daripada jumlah pekerja di atas, maklum balas yang diterima daripada industri, seramai 776,135 orang pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan.

"Kumpulan ini diwajibkan menjalani BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN," katanya.


Pada Selasa, MKN mengarahkan semua pekerja sektor awam dan swasta peringkat pengurusan serta pentadbiran dalam kawasan PKPB bekerja di rumah mulai 22 Oktober.

BACA: PKPB: Pekerja bahagian pengurusan, pengawasan diarah bekerja dari rumah


Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan arahan ini berkuat kuasa sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja di pejabat.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha untuk mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu, selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi dalam talian.

Jelasnya, MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP di kalangan pihak industri.