Angka kebolehjangkitan atau R nought (R0) di negara ini boleh meningkat sekiranya rakyat tidak mematuhi arahan yang ditetapkan walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini peratusan R nought di Malaysia iaitu 0.7 peratus masih pada tahap terkawal.

"Kalau tindakan kita berkesan, R nought itu akan semakin turun, tetapi jika tiada kepatuhan sosial terhadap SOP walaupun PKP dilakukan, R nought boleh meningkat.

"Sama juga sekarang ini kita bagi kelonggaran PKPB, jadi kalau tiada kepatuhan, maka R nought akan meningkat. Jadi, kita kena lihat kepada kaedah tindakan PKP dan PKPB yang kita laksanakan," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau berkata KKM sedang memantau peratusan R nought pada masa akan datang.

Pada Sabtu, Dr Noor Hisham memaklumkan R nought di negara ini mencatakan 3.55 peratus sebelum pelaksanaan PKP fasa satu hingga tiga.