KUALA LUMPUR: Asrama pekerja Imperial Garments di Flat Anjung Tawas Damai, Perak, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari, bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Katanya, setakat ini sebanyak 524 ujian saringan telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu, seramai 213 orang dilaporkan positif COVID-19.

"PKPD itu bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama, sekali gus mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata PKPD di  di Penjara Tapah dan kuarters kakitangannya yang dijadual tamat esok dilanjutkan dua minggu lagi hingga 15 Mac depan.

Setakat ini sebanyak 178 kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak pula akan ditamatkan mengikut jadual, esok.