KUALA LUMPUR :Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru akan ditamatkan esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, tarikh penamatan ini adalah sama seperti yang dijadualkan sejak PKPD dikenakan di kawasan itu.

"Sepanjang tempoh PKPD, seramai 1,585 penghuni menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 682 penghuni telah dikenal pasti positif COVID-19.

"Penilaian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam tempoh berkenaan mendapati trend kes menunjukkan penurunan dengan kes terakhir dilaporkan pada 15 Januari 2021 lalu dan tiada lagi sampel yang sedang menunggu keputusan," jelas beliau.

Ujarnya, meskipun PKPD di Asrama Westlite ditamatkan, lokaliti berkenaan masih lagi tertakluk dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negeri Johor.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian PKP yang berlangsung di Putrajaya pada Khamis.