KUALA LUMPUR : Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Bagai Serai dan Kerian, Perak berkuat kuasa 27 Mei sehingga 9 Jun.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

“Sehingga 24 Mei 2021, sebanyak 53 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti tersebut hasil daripada 144 ujian saringan dijalankan oleh KKM (Kementerian Kesihatan).

“KKM juga mendapati kes semasa bertaburan dalam mukim dan tidak tertumpu dalam satu lokaliti atau kawasan dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu dapat mengurangkan pergerakan penduduk dalam dan luar mukim serta pergerakan rentas negeri jiran.