Kerajaan sedang membincangkan tindakan selanjutnya yang akan diambil susulan penutupan 73 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan tiga taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam Parlimen Kubang Pasu pada Rabu akibat penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, tindakan kerajaan ketika ini lebih tertumpu kepada menutup kawasan yang dipercayai wujud penularan kes COVID-19.

"Kalau ditutup, itu bermakna kita (kerajaan) mengambil tindakan berdasarkan lokaliti bukan daerah, saya percaya kita akan lihat perkara ini dengan teliti.

"Walaupun ditutup tadika tersebut, kita tengok secara keseluruhan, kalau berlaku penularan begitu besar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tindakan selanjutnya untuk keselamatan supaya menyekat jangkitan virus itu.

"Kita hanya fokus kepada tadika bermasalah sahaja tetapi kemungkinan boleh berlaku, kita akan tengok secara terperinci,"katanya ketika mengulas sama ada kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah itu dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya pada Khamis.

Pada Rabu, sebanyak 73 tabika dan tiga taska Kemas dalam Parlimen Kubang Pasu ditutup berikutan penularan kes COVID-19 di daerah itu melibatkan kluster Sivagangga.

Seramai 1,605 murid tabika dan 62 murid taska Kemas terlibat dalam penutupan selama 14 hari itu atas nasihat daripada Pejabat Kesihatan Negeri.

Pengarah Kemas negeri, Noor Azman Abd Rahman berkata, antara tabika yang dipercayai mempunyai rekod kontak rapat dengan kluster berkenaan adalah Tabika Kemas Kampung Natoi, Tabika Pekan Jitra, Tabika Kampung Bemban dan Tabika Kampung Tebing.

BACA: 213 individu ditahan ingkar arahan PKPP - Ismail Sabri