KUALA LUMPUR: Tujuh lokaliti melibatkan Pahang dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 29 September hingga 12 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, daripada jumlah tersebut, tiga lokaliti membabitkan Rancangan FELDA di Bera.

Ia masing-masing melibatkan FELDA Rentam, FELDA Tementi, serta FELDA Sebertak.

Rodzi menambah, empat lagi lokaliti adalah melibatkan Perkampungan Orang Asli Seri Makmur, Tanjung Rambutan, Kinta.

"Empat kampung tersebut adalah Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang, serta Kampung Dollah," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kampung Orang Asli Gangai, Mukim Slim, Muallim pula ditamatkan PKPD.

Turut ditamatkan PKPD adalah di Pahang membabitkan Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub.

Selain itu, empat lokaliti di Sabah iaitu dua di Kota Kinabalu membabitkan Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru.

PKPD di Kampung Rugading, Kota Marudu dan Kilang Fu Yee, Brantian, Kalabakan juga diumumkan tamat PKPD.

PKPD di kawasan-kawasan tersebut ditamatkan berkuat-kuasa 28 September (Selasa).