KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti sementara tujuh lokaliti baharu diumum dan dua lagi dilanjutkan pelaksanaannya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ditamatkan di tiga lokaliti di Selangor iaitu Taman Murni, Sepang, Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dan CLQ Johan Setia, Klang.

Empat lokaliti di Sabah ialah Kampung Linukaan, Kota Marudu, Kampung Perpaduan Gumpa, Kampung Perpaduan 2, Kampung Timbagaan, Matunggong di Kudat, Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, Tawau dan Kuarters Kilang Bata Kampung Durok, Keningau.

Sementara satu lokaliti di Sarawak ialah Kampung Tematu, Kuching.

Dalam pada itu, beberapa lokaliti di Sabah telah diumum dilaksanakan PKPD bermula 14 sehingga 27 Julai iaitu Taman Muhibbah Fasa 1,2 & 3 di Beaufort; Kampung Madsiang, Apartment Beverly Hills Fasa 2 dan Kampung Kobusak di Penampang; serta beberapa kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, melibatkan Kampung Patikang Ulu, Kilang & Kuarters Focus Lumber, Kilang & Kuarters Veracity, Kilang & Kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan penempatan warga Indonesia.

Turut diumumkan PKPD ialah Felda Lembah Klau, Mukim Gali, di Raub, Pahang; Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, di Kuching, Sarawak; dan Felda Maokil, di Muar, Johor.

Selain itu, dua lokaliti yang dilanjutkan PKPD bermula 14 Julai sehingga 27 Julai 2021 pula adalah CLQ Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang dan Flat Taman Benus Jaya, Bentong.