KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan sokongan terhadap pendekatan kerajaan Sepanyol yang mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa susulan konflik ketenteraan yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR, Maszlee Malik berkata, parti itu memuji ketegasan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez yang secara terbuka mengecam tindakan ketenteraan unilateral terhadap Iran yang disifatkan sebagai tidak berasas serta melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Advertisement
"Tindakan Sepanyol menafikan akses kepada Amerika Syarikat terhadap pangkalan dan kemudahan wilayahnya bagi tujuan melancarkan operasi ketenteraan turut mencerminkan pendirian jelas negara itu dalam mempertahankan kedaulatan serta menolak penglibatan dalam konflik yang semakin memuncak di Asia Barat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat
Maszlee berkata ketegasan Sepanyol itu juga memberi mesej penting bahawa sesebuah negara tidak seharusnya menjadi landasan kepada tindakan ketenteraan yang boleh mengancam kestabilan serantau, sebaliknya berperanan sebagai penjaga keamanan melalui pendekatan diplomasi.
Dalam masa sama, PKR menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha gencatan senjata segera serta mengembalikan rundingan yang difasilitasi PBB bagi meredakan ketegangan di rantau tersebut.
Tambahnya, pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip multilateralisme perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan global tidak terjejas akibat tindakan unilateral mana-mana pihak.