Skip to main content

Malaysia

PM Anwar hadiri malam kemuncak Citrawarna 2026 bersama ribuan pengunjung

Citrawarna _AWANI
Citra Perarakan yang menjadi acara kemuncak program, menampilkan gabungan persembahan muzik, tarian dan penceritaan budaya oleh kontinjen dari seluruh negara. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini menghadiri Majlis Perasmian dan Malam Kemuncak Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka, di sini.

Ia sekali gus menyerlahkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sektor pelancongan menerusi pemerkasaan seni, budaya dan warisan negara sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Anwar, yang diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, menyaksikan Citra Perarakan yang menjadi acara kemuncak program, menampilkan gabungan persembahan muzik, tarian dan penceritaan budaya oleh kontinjen dari seluruh negara.

Bertemakan “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa”, Citrawarna 2026 menghimpunkan ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa dalam sambutan yang meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Citrawarna 2026 melibatkan penyertaan kira-kira 3,500 penari mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, selain penyertaan komuniti pelbagai kaum yang mencerminkan kekayaan warisan budaya negara.

Menurut kenyataan itu, acara berkenaan turut menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan khas.

Ia membabitkan pelawat dari China, India, Mauritius, Jepun, Vietnam, Indonesia, Singapura, Kazakhstan, Itali, Belanda, Switzerland dan Perancis.

“Melalui Citra Perarakan, pengunjung disajikan dengan peragaan busana tradisional, persembahan muzik dan tarian serta pelbagai pertunjukan kebudayaan yang mengetengahkan tradisi, kisah dan identiti masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tiga hari penganjuran, Citrawarna 2026 mengetengahkan empat komponen utama iaitu Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni, yang menawarkan pengalaman menyeluruh mengenai warisan, seni dan budaya negara.

Malam kemuncak itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Wani Kayrie, Bulan Asyraff, Soo Wincci, Santesh Kumar, Ernie Zakri dan Aina Abdul.

Program yang berlangsung sehingga 26 Julai (esok) menawarkan pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, aktiviti kulinari, demonstrasi seni dan kraf tangan serta pengalaman warisan interaktif kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement