Ringkasan AI
- Ibu bapa perlu hadir ke sekolah untuk anak-anak menerima bantuan RM200 yang akan disalurkan kerajaan mulai tahun depan.
- Bantuan tidak akan diserahkan ke rumah bagi memastikan ibu bapa terlibat dalam perkembangan pendidikan dan sahsiah anak-anak.
- Tiga inisiatif pendidikan digital, termasuk Cikgu ILMU, dilancarkan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan digital dan penggunaan AI secara beretika.
PUTRAJAYA: Ibu bapa perlu hadir ke sekolah bagi membolehkan anak-anak menerima bantuan RM200 yang akan disalurkan kerajaan mulai tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu tidak akan diserahkan terus ke rumah kerana kerajaan mahu memastikan ibu bapa turut terlibat dalam perkembangan pendidikan anak-anak.
Menurut beliau, kehadiran ibu bapa ke sekolah juga memberi peluang kepada mereka bertemu guru bagi mengetahui perkembangan serta mendapatkan nasihat berkaitan pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak.
“Sebab itu saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan, untuk tahun depan, semua anak-anak akan dapat RM200.
“Tetapi berdasarkan pengalaman, kita minta ibu bapa datang ke sekolah. Kita tak serah wang itu ke rumah.
“Kerana kita nak ibu bapa itu tahu sekolah anaknya, jumpa guru-guru, dan guru boleh beri nasihat.
“Dan kalau tak datang ke sekolah, Fadhlina, jangan bagi wang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI” dan Majlis Peluncuran CikguILMU oleh YTL AI Labs di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, majlis itu turut menyaksikan peluncuran tiga inisiatif utama pendidikan digital negara iaitu Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) 3.0, Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) Kementerian Pendidikan serta Cikgu ILMU.
Cikgu ILMU merupakan platform yang dibangunkan oleh YTL AI Labs dan dikuasakan oleh ILMU, AI Malaysia.
Ketiga-tiga inisiatif itu bertujuan memperkukuh ekosistem pendidikan digital negara, memodenkan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta membudayakan penggunaan AI secara beretika, selamat dan bertanggungjawab
Kementerian Pendidikan komited memastikan teknologi AI dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa kompetensi guru serta melahirkan generasi yang fasih AI, kreatif, inovatif dan berdaya saing tanpa mengetepikan nilai kemanusiaan serta peranan penting guru.