Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa pelajar membaca sekurang-kurangnya dua buku sepanjang cuti sekolah akhir tahun untuk memupuk budaya ilmu.
- Kementerian Pendidikan diminta memastikan guru, pengetua dan guru besar menggalakkan pelajar membaca bahan bacaan bersesuaian semasa cuti sekolah.
- Tiga inisiatif utama AI Pendidikan Negara dilancarkan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan digital dan memodenkan kaedah pengajaran serta pembelajaran.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pelajar membaca sekurang-kurangnya dua judul buku sepanjang cuti sekolah akhir tahun bagi menyemai budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, budaya membaca perlu terus dipupuk dan tidak seharusnya diketepikan meskipun pelajar kini turut didedahkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan memastikan semua guru, pengetua dan guru besar menggalakkan pelajar membaca bahan bacaan bersesuaian sepanjang tempoh cuti sekolah.
“Bulan Disember cuti. Saya nak minta Menteri, KP, mana KP? Pastikan peringatan kepada semua guru dan pengetua dan guru besar.
“Bukan tak payah bagi assignment, homework, anak-anak cuti kan. Tetapi pastikan ada kalau cuti dua bulan atau satu bulan setengah, anak-anak mesti diberi judul buku yang wajib dibaca.
“Saya minta ibu bapa yang tonton ini, tengok anak-anak yang hadir, kata dia janji pada Atuk Anwar, dia akan baca dua buku sepanjang musim cuti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI” dan Majlis Peluncuran CikguILMU oleh YTL AI Labs di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Anwar turut menegaskan bahawa penguasaan teknologi AI perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak, keperibadian dan nilai kemanusiaan.
Dalam perkembangan berkaitan, peluncuran prakarsa AI Pendidikan Negara itu merangkumi tiga inisiatif utama iaitu DELIMa 3.0, Panduan Literasi AI KPM dan Cikgu ILMU yang dibangunkan oleh YTL AI Labs serta dikuasakan oleh ILMU, AI Malaysia.
Ketiga-tiga inisiatif itu saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital negara, termasuk memodenkan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta menyediakan pengalaman pembelajaran lebih interaktif kepada murid.