IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan belia di negara ini supaya menyahut seruan kerajaan bagi menolak rasuah, salah guna kuasa dan penindasan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru NGO dan gerakan belia untuk menolak rasuah, salah guna kuasa, dan penindasan demi keadilan dan kemajuan negara.
  • Anwar menekankan kepentingan mengamalkan nilai-nilai positif dan meninggalkan amalan lapuk serta kezaliman untuk memajukan negara.
  • Beliau menekankan perlunya ilmu, keadilan, dan kesatuan dalam menjadikan Malaysia negara hebat, serta berjanji memastikan pemimpin muda dan organisasi menyokong usaha ini.


Anwar berkata Rasulullah SAW suatu masa dahulu bersama kekuatan keyakinan, akidah, akhlak dan nilai, mempertahankan hak serta keadilan dengan menolak penyelewengan, kezaliman serta rasuah dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata sekiranya sifat itu diamalkan oleh masyarakat dengan mendalami pengertian hijrah di samping "bangun" daripada kemalasan untuk mengangkat martabat diri, negara pasti akan membangun dengan maju.

"Hijrah itu ertinya meninggalkan amalan lapuk dan syirik, amalan kezaliman, penindasan, fitnah yang berlaku berleluasa, maka baru kita berubah dan saya percaya Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia ini akan membawa semangat yang sama, kita akan selamatkan bangsa dan umat kita.

"Saya kebetulan generasi lama, tetapi dalam soal mempertahankan hak, kedaulatan, saya tidak peduli ... lawan tetap lawan!" katanya ketika berucap merasmikan penubuhan PLG di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi serta Presiden PLG Datuk Abdullah Ghani Kassim.

Anwar berkata masyarakat tidak boleh leka kerana negara kini sedang bersaing untuk membangun, maka mereka perlu melengkapkan ilmu, meningkatkan pengertian keadilan dan bersatu dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat.

"Kita perlu pelaburan, digital, kecerdasan buatan, basmi kemiskinan dan syaratnya (untuk maju) mesti ada pimpinan daripada golongan muda, PLG, pimpinan politik negara yang tolak kezaliman dan hentikan guna kuasa untuk mengayakan diri.

"Saya beri jaminan dengan kuasa yang ada pada saya, saya akan pastikan baik PLG atau silat gayung atau apa sahaja jentera yang ada untuk mengukuhkan lagi dan mengangkat martabat bangsa menjadi bangsa yang hebat," kata beliau.

Justeru, Perdana Menteri berkata beliau mahu semua pihak untuk menghentikan segala perbalahan serta menggunakan semangat hijrah kerana inilah masanya untuk mereka bangun sebagai satu kekuatan di samping menunjukkan bangsa yang hebat ialah yang berilmiah, berprinsip, kuat bekerja serta menegakkan keadilan bagi negara dan masyarakat.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada PLG Malaysia kepada lima pelajar di negeri ini melibatkan dua pelajar cemerlang 4A Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Penggal 1 2024, seorang pelajar cemerlang 4A STPM Penggal 2 2024 dan dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

-- BERNAMA