MALAYSIA
PM Anwar seru umat Islam hayati teladan Rasulullah SAW dalam pembinaan negara

Anwar ajak rakyat meneladani sunnah kenabian dalam menghadapi cabaran negara, dengan disiplin, kejujuran dan keyakinan terhadap masa depan umat. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam menjadikan teladan Rasulullah SAW sebagai panduan dalam usaha membina bangsa dan negara yang berteraskan nilai kemanusiaan serta keadilan.
Ringkasan AI
- PM Anwar menyeru umat Islam menjadikan teladan Rasulullah SAW sebagai asas membina masyarakat berteraskan keadilan, kemanusiaan dan nilai agama.
- Beliau tekankan contoh masyarakat Madinah yang dibentuk Rasulullah SAW sebagai khayra ummah - beriman, menegakkan kebaikan dan membanteras kemungkaran.
- Anwar ajak rakyat meneladani sunnah kenabian dalam menghadapi cabaran negara, dengan disiplin, kejujuran dan keyakinan terhadap masa depan umat.
"Baginda meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan, ilmu, akhlak serta nilai kemanusiaan berasaskan ajaran agama,” katanya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul, pada Jumaat.
Anwar menegaskan, masyarakat madani yang dibentuk oleh Rasulullah SAW di Madinah adalah contoh umat unggul atau khayra ummah, iaitu umat yang dicirikan oleh iman, nilai kebaikan, manfaat kepada manusia sejagat, serta beriltizam menegakkan perkara ma’ruf dan membanteras kemungkaran.
Beliau turut mengingatkan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang menegaskan bahawa umat Muhammad adalah sebaik-baik umat kerana menyuruh kepada kebaikan, melarang kemungkaran dan beriman kepada Allah.
“Berakar kepada sunnah kenabian dan rahmah Allah SWT, marilah kita hadapi ranjau dalam kembara membina bangsa dan negara dengan contoh serta hikmah ar-Rasul.
"Semoga penghayatan mendalam terhadap ajaran dan warisan Baginda akan memandu kita bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan umat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami