Skip to main content

Malaysia

PM Anwar tersentuh kisah Kavita selaku pekerja pembersihan besarkan lima anak

Tersentuh dengan kisah saudari M. Kavita yang lebih 12 tahun meredah panas dan hujan sebagai pekerja pembersihan demi membesarkan lima anak. Alhamdulillah, segala penat lelah dan pengorbanannya terbalas apabila kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing. Pengorbanan beliau turut dihargai menerusi Anugerah Khas dalam Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan SWCorp.
Kisah keluarga itu menjadi perhatian kerana Kavita terus bekerja sebagai petugas pembersihan meskipun anak-anaknya telah mempunyai kerjaya masing-masing. - Foto FB Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tersentuh dengan ketabahan M. Kavita yang bekerja sebagai petugas pembersihan lebih 12 tahun demi membesarkan lima anaknya sehingga berjaya membina kerjaya masing-masing.

Anwar berkata, segala penat lelah dan pengorbanan Kavita meredah panas dan hujan selama ini akhirnya terbalas apabila kelima-lima anaknya kini mempunyai kerjaya masing-masing.

“Tersentuh dengan kisah saudari M. Kavita yang lebih 12 tahun meredah panas dan hujan sebagai pekerja pembersihan demi membesarkan lima anak.

“Alhamdulillah, segala penat lelah dan pengorbanannya terbalas apabila kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menyatakan rasa senang hati apabila pengorbanan Kavita mendapat pengiktirafan menerusi Sumbangan Keprihatinan pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026, pada Selasa.

Majlis bertemakan “Wira Kebersihan, Nadi Kelestarian Negara” itu dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama tiga syarikat konsesi iaitu Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan E-Idaman Sdn Bhd.

Kavita yang berkhidmat dengan SWM Environment merupakan antara tiga penerima Sumbangan Keprihatinan pada majlis berkenaan.

“Semoga saudari Kavita dan seluruh warga pekerja pembersihan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan penghormatan yang selayaknya.

“Terima kasih atas segala bakti dan keringat dalam menjaga kebersihan serta kesejahteraan kita semua,” kata Anwar.

Terdahulu, kisah Kavita mendapat perhatian selepas tular rakaman video memaparkan beliau sebak menerima kejutan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50 ketika sedang bertugas di Seremban.

Empat anak perempuannya hadir membuat kejutan dengan mengenakan uniform kerjaya masing-masing, iaitu jururawat, kru kabin Singapore Airlines, guru sekolah menengah dan juruterbang.

Kavita mempunyai lima anak iaitu L. Bharathi, Hema, Santhia, Yumal Raj dan Priya Darsni, manakala seorang anak lelakinya turut bekerja dalam bidang pembersihan.

Kisah keluarga itu menjadi perhatian kerana Kavita terus bekerja sebagai petugas pembersihan meskipun anak-anaknya telah mempunyai kerjaya masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement