KUALA LUMPUR: Semua anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), diingatkan untuk sentiasa bertugas dengan penuh disiplin dan integriti.

Pesanan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anggota penguat kuasa berkenaan, ketika membuat lawatan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), semalam.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Anwar juga mahu semua anggota berkenaan memastikan tiada lagi kecurangan berlaku, yang seterusnya boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Dalam hantaran sama yang turut disertakan dengan video rangkuman tinjauan Perdana Menteri ke LTAPP, Anwar berkata lawatan terbabit, bagi melihat sendiri pengurusan dan fasiliti lapangan terbang serta penugasan anggota khususnya JKDM dan JIM.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mempengerusikan Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar, sempena lawatannya ke negeri itu semalam dilapor berkata pembesaran LTAPP merupakan antara perkara yang disentuh dalam taklimat tersebut.

-- BERNAMA