PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kewangan menjalankan kajian penuh berhubung cadangan memperkenalkan sistem percukaian hibrid yang menggabungkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberikan masa untuk menyediakan laporan berhubung cadangan itu sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut.
Beliau berkata cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan tidak boleh diputuskan secara terburu-buru kerana memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek, termasuk pengajaran daripada pelaksanaan GST sebelum ini serta isu yang dihadapi di bawah sistem SST ketika ini.
"Jadi, perkara-perkara ini akan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan sebelum dibawa untuk dibincangkan dan diputuskan di Jemaah Menteri," katanya dalam sidang media mingguan kementeriannya, pada Rabu.
Bagaimanapun buat masa ini, tiada tempoh diberikan untuk menyelesaikan kajian atau bila keputusan mengenai cadangan sistem percukaian hibrid itu akan dibuat.
Terdahulu pada Selasa, Perdana Menteri berkata kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.