KUALA LUMPUR: Cadangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Thailand akan dibincangkan lebih lanjut dalam lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke negara itu hujung bulan ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Malaysia berharap akan ada kemajuan mengenai perkara itu di sebalik kebimbangan berhubung penularan varian Omicron ketika ini.

"Kita ada cadangan perbincangan untuk VTL dengan beberapa negara lain, selain Singapura, (iaitu) Thailand dengan Indonesia dan beberapa negara lain.

"Dengan Thailand kita harap akan ada sedikit kemajuan mengenai VTL Malaysia-Thailand sebab Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Thailand pada 29 dan 30 Disember ini.

"Perbincangan ini diketuai Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin), sama seperti kita berbincang dengan Singapura ia diketuai Menteri Kesihatan kedua-dua negara," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Kerangka Dasar Luar Negeri di ibu negara pada Selasa.

Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu antara lain bagi membincangkan mengenai hala tuju kedua-dua negara termasuk mengenai VTL Malaysia-Thailand.

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thailand sebelum ini dilaporkan akan mempertimbangkan pembukaan semula sempadan negara itu susulan wujud kes pertama varian Omicron di Malaysia.

Lima wilayah selatan Thailand dijangka terlibat dalam VTL Malaysia-Thailand iaitu Songkhla, Satun, Narathiwat, Yala dan Pattani.