Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa untuk tidak berdiam diri dalam isu polis “tembak dahulu” seperti yang ditimbulkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan bertulisnya kepada media mempersoalkan polisi “tembak dahulu” oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menangani suspek jenayah.

“Bagaimana sebuah organisasi yang mendakwa mereka adalah polis bertaraf dunia tetapi mengamalkan polisi “tembak dahulu” dalam berdepan dengan suspek jenayah,” kata Lim.

Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menambah dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis Dzaiddin yang ditubuhkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyalurkan 125 saranan pada tahun 2005 dalam mewujudkan suatu organisasi polis bertaraf dunia yang efisien, jauh dari gejala rasuah, yang boleh dipercayai dan professional melalui tiga fungsi utamanya, iaitu pengurangan jenayah, membasmi rasuah dan mengangkat hak asasi manusia.

Namun, menurutnya, apa yang menyedihkan tiga fungsi yang direncanakan dalam Suruhanjaya itu masih gagal dicapai.

“Bukan hanya Perdana Menteri sahaja yang sepatutnya menerangkan pendirian beliau dalam polisi “tembak dahulu” dari polis itu, malah Kabinet juga perlu bebruta demikian dalam isu berkenaan,” katanya lagi.

Malah, Majlis Tertinggi Barisan Nasional juga perlu mengadakan mesyuarat tergempar dalam membincangkan pendirian mereka terhadap polisi Zahid “tembak dahulu” dalam berdepan suspek jenayah ini.

Zahid yang sebelum ini, mempertahankan kenyataan Khalid mengenai kehilangan 44 senjata api polis yang dikatakan “jatuh kedalam laut” selepas Laporan Ketua Audit negara 2012 yang mendedahkan kehilangan RM1.33 juta aset milik polis meliputi 29 buah kenderaan, 156 gari, 26 buah ‘walkie-talkie’ dan 22 buah radio.

“Apa jua keadaan, rakyat berhak mengetahui dari Ketua Polis Negara sendiri adakah polis sudah mengamalkan Prosedur Standard Operasi (SOP) seiring dengan kenyataan yang dibuat oleh Zahid pada Sabtu lalu and jika sudah, bilakah SOP ini akan berkuatkuasa,” kata beliau lagi.