KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan situasi menang-menang dapat dicapai dalam isu membabitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, beliau turut berharap perkara positif dapat didengari selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa Displin KPM yang akan bersidang pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, beliau memahami KPM tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan mana-mana kakitangannya membuat komen negatif secara terbuka.

Tetapi pada masa sama, beliau berkata, sebarang tindakan atau hukuman yang ditentukan perlulah bersesuaian.

"Kementerian pun tak boleh nak bebaskan sesiapa saja di kalangan kakitangan mereka, sama ada untuk membuat komen yang bertentangan dengan kementerian. Tetapi dalam masa yang sama tindakan hukuman tidaklah boleh terlalu keras terhadap kakitangan, pegawai dan sebagainya.

“Jadi saya harap keputusan esok menang-menang. Dan tindakan yang tegas dan keras seperti yang digambarkan (yang ditularkan) tidak berlaku, dalam masa yang sama kakitangan mesti juga menghormati pihak kementerian,” katanya lagi.

BACA: Radzi Jidin ajak Cikgu Mohd Fadli berjumpa

BACA: Surat kepada Cikgu Mohd Fadli bukan hukuman - KP Pendidikan

Ismail Sabri berkata, beliau difahamkan banyak komen negatif oleh masyarakat tentang tindakan yang mungkin akan diambil terhadap guru berkenaan.

Selain itu katanya lagi, beliau sendiri telah berpesan kepada Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali tentang keperluan menjaga integriti kerajaan, dan pada masa sama mendengar pandangan guru tersebut serta rakyat secara keseluruhan.

“Saya (dimaklumkan mengenai perkara itu) pagi tadi, sebab saya difahamkan dah viral dan banyak komen dari netizen tentang tindakan yang mungkin diambil itu, ramai beri pandangan yang negatif juga kalau tindakan keras yang sebegitu.

“Sebab itu saya beritahu kepada KP Pendidikan dalam menjaga integriti kementerian, kita juga perlu dengar pandangan bukan saja dari guru tersebut, tapi dari masyarakat,” katanya lagi.